Friday 20 April 2012

PENULISAN KARANGAN TINGKATAN 3

PANDUAN PENULISAN KARANGAN



PENJELASAN RINGKAS TCMP


BAHAGIAN PENDAHULUAN
Secara ringkasnya, perenggan pendahuluan TMP mempunyai bentuk seperti berikut:.


Ayat 1 Ayat penyataan tema(mayapada,marcapada…..)

Ayat 2 Definisi tema(Dari segi konsepsinya.....)
Ayat 3 Ayat rangsangan (mengapa/bagaimana/siapa)
Ayat 4 Ayat contoh / tokoh(Menurut......)
Ayat 5 Ayat arah soalan(Oleh itu,....(arah soalan)




BAHAGIAN ISI
Secara ringkasnya, perenggan isi TMP mempunyai bentuk seperti berikut:.


Ayat 1 Ayat arah soalan t tema

Ayat 2 Ayat rangsangan ( mengapa, bagaimana, siapa)
Ayat 3 Ayat rangsangan( mengapa, bagaimana, siapa)
Ayat 4 Ayat contoh / tokoh
Ayat 5 Ayat rangsangan kesimpulan perenggan(Sekiranya,...)




BAHAGIAN KESIMPULAN

Secara ringkasnya, perenggan kesimpulan TMP mempunyai bentuk seperti berikut:.



Ayat 1 Ayat penyataan tema(Akhirulkalamnya,….)

Ayat 2 Ayat rangsangan harapan (Semoga….)
Ayat 3 Ayat rangsangan Pandangan (sememangnya,.....)
Ayat 4 Ayat rangsangan cadangan(Oleh itu, kita perlu....)
Ayat 5 Ayat rangsangan kesimpulan perenggan(Sekiranya....) 




TEKNIK CARA MUDAH PERENGGAN
TMP : ALTERNATIF BAGI PELAJAR SEDERHANA DAN POTENSI


TCMP sebagai alternatif pelajar sederhana dan potensi dibentangkan dalam Pertandingan Inovasi Guru Kategori Individu Menengah Pahang 2009. Memperoleh tempat ketiga Negeri Pahang 2009 dan tempat kedua Sempena Hari Guru Daerah Kuantan 2009.



A. STRUKTUR SETIAP PERENGGAN



A1 =Idea utama

A2 = Huraian
A3 = Huraian
A4 = Data, contoh, statistik, pendapat, peribahasa, ungkapan menarik
A5 = Kesimpulan perenggan



* A ialah ayat



B. PANDUAN PERMULAAN PERENGGAN PENDAHULUAN



Pelajar memulakan karangan dengan kata / frasa berikut ;

Akhir-akhir ini,......
Kebelakangan ini,......
Sejak belakangan ini,......
Mayapada,.............
Marcapada,...........
Dalam mengejar era modenisasi.......



C. PANDUAN MEMULAKAN PERENGGAN IDEA



Mulakan ayat idea utama dengan kata arah soalan seperti berikut;

Punca/cara / usaha / kepentingan yang perlu diperhalusi ialah,.....................



D. PANDUAN MENULIS KESIMPULAN / PENUTUP KARANGAN



Mulakan ayat kesimpulan dengan kata berikut;

Kesimpulannya,.....
Secara tuntas,.........
Sebagai akhir kalam,.......
Konklusinya,............
Sebagai intiha,..........



E. KONSEP ASAS YANG PERLU DIKETAHUI PELAJAR



Tema = isu dalam soalan

Ayat Arah = ayat yang menjurus kepada kehendak soalan
Ayat Huraian = ayat yang menghurai idea
Ayat Contoh = ayat yang menyatakan contoh(dimulakan dengan Menurut ...atau Sebagai contoh,..)berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar tanpa merujuk bahan / maklumat yang betul



Ayat Simpul = Ayat yang menggabungkan harapan , pandangan dan cadangan terhadap isu




F. PROSEDUR PELAKSANAAN OLEH GURU DI SEKOLAH


1. Guru menjelaskan secara ringkas perkara A,B,C,D dan E

2. Guru mengedarkan bahan modul latihan bahagian pendahuluan,isi dan kesimpulan kepada pelajar.
3. Guru memudah cara dan membimbing pelajar bermula ayat 1 hingga ayat 5 bahagian pendahuluan, diikuti bahagian isi dan bahagian kesimpulan.
4. Guru perlu memastikan pelajar menulis ayat demi ayat bersama-sama. Jika ada pelajar yang masih belum menghabiskan ayat sebelumnya, guru perlu memastikan pelajar tersebut menulis sebelum memulakan ayat seterusnya.



Perkara asas yang perlu ada pada pelajar semasa menulis bahagian kesimpulan ialah;



i. Mengetahui elemen asas kesimpulan seperti

pandangan, cadangan dan harapan .
ii. Pandangan perlu bermula dengan (Sememangnya...)
iii. Harapan perlu bermula dengan (Semoga...)
iv. Cadangan perlu bermula dengan ( Oleh itu,
kita perlu...)




LATIHAN MENGENAL PASTI TEMA DAN ARAH SOALAN


TEMA DAN ARAH SOALAN

Latihan 1



Nyatakan tema dan arah soalan tajuk karangan di bawah.



Kegilaan terhadap pelbagai program televisyen realiti mengakibatkan tumpuan dalam bidang pelajaran anak-anak terabai.



Berikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam usaha mengawal kecenderungan anak-anak terhadap program televisyen realiti ini.



Tema : .......................................................................................




Arah soalan ; ................................................................................



Latihan 2



Nyatakan tema dan arah soalan tajuk karangan di bawah.




Di Malaysia, nasib golongan istimewa atau lebih dikenali sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) turut mendapat perhatian serius dan pembelaan daripada pihak kerajaan dan masyarakat yang amat prihatin terhadap golongan tersebut.



Tulis sebuah rencana tentang usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan bagi membantu golongan tersebut.



Tema : .......................................................................................



Arah soalan ; ................................................................................




Latihan 3



Nyatakan tema dan arah soalan tajuk karangan di bawah.




Negara kita telah berjaya merapatkan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar melalui bahasa, kebudayaan, dan sistem pendidikan yang sistematik.



Ulaskan pernyataan tersebut



Tema : ........................................................................................



Arah soalan ; .................................................................................





PANDUAN PENULISAN
KARANGAN RESPONS TERBUKA

1. APAKAH PERENGGAN ?

Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.




PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :
Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :


1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.

2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.




PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.


1. Perenggan pengenalan

2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan





PERENGGAN PENGENALAN :

Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :

1. Ayat rangsangan.

2. Ayat arah.





AYAT RANGSANGAN :

Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.


Soalan contoh :

Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?


(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.



(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.



(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.



(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.




AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.


Soalan contoh :

Pada pendapat anda,apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?



Ayat arah :

Kesemua siri peperangan yang berlaku inisebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.


PERENGGAN ISI :



1. APAKAH AYAT TOPIK ?

Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.



2. APAKAH AYAT HURAIAN ?

Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.



3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?

Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :


1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.

2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.





4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.



Soalan contoh :

Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?


Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:



1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.

2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.





PERENGGAN PENUTUP :



Penutup merupakankesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakanrumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangandalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.




JENIS AYAT DALAM PERENGGAN PENUTUP:


1. Ayat kesimpulan umum

2. Ayat pendapat
3. Ayat cadangan
4. Ayat komen
5. Ayat penilaian
6. Ayat harapan
7. Ayat penutup



Ayat kesimpulan umum :Masalah disiplin.

Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.


Ayat pendapat : Kesan peperangan.

Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.


Ayat cadangan : Kesan peperangan.

Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.



Ayat komen : Ulasan cerpen.

Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.



Ayat penilaian : Kesan peperangan.

Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.



Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.

Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.



Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawabersatu kita teguh, bercerai kita roboh.



Ayat Penutup: Kesan peperangan

Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kalah jadi abu, menang jadi arang.



Rujukan:

1. Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, DBP.
2. Abdul Ghalib Yunus & Dr Ghazali Lateh, Esensi Bahasa Malaysia SPM, Longman.



Pendahuluan
I = Isu
K = Kesan isu
T = Tindakan umum untuk menangani isu
H = Hasil tindakan
H = Hubung kait dengan soalan


Isi



T = Ayat Topik (terdiri daripada DUA Frasa

F = Frasa 1
F = Frasa 2
P = Penegasan



Kesimpulan



R = Rumusan keseluruhan

C = Cadangan umum
A = Amaran peringatan yang bakal berlaku
H = Harapan penulis terhadap isu.



Semua perkara di atas diaplikasikan dalam karangan-karangan contoh sebelum ini.



Kelebihan penggunaan formula dalam aktiviti mengarang.



1. Karangan menjadi panjang dan memenuhi arahan soalan. (Biasanya 450 perkataan ke  atas)

2. Murid tidak membuang masa memikirkan perkara yang hendak ditulis.
3. Hala tuju karangan jelas dan tidak terkeluar tajuk.
4. Perenggan yang seimbang dan sekata.
5. Komponen karangan lengkap - ada pendahuluan, perenggan isi yang jelas, dan kesimpulan.





KARANGAN PMR 1 : 





Contoh Karangan :Bencana Alam


Bencana alam terutama banjir begitu kerap berlaku di negara ini terutama ketika musim hujan. Bukan sahaja harta benda musnah malah nyawa manusia turut melayang.

Jelaskan punca-punca yang membawa kepelbagaian bencana alam ini.


Sudah pasti kejadian bencana alam ini sesuatu takdir yang sudah ditentukan oleh Tuhan. Namun dalam pada masa yang sama kita sebagai manusia harus memikirkan pelbagai perkara yang membawa bencana ini menjadi semakin meruncing kerana sama ada kita mahu mengaku atau tidak bencana alam ini akan terus berlaku. Pemahaman terhadap punca-punca yang menjurus berlakunya bencana ala mini berupaya menimbulkan tindakan yang mampu menghalang atau mungkin mengawalnya lalu mengurangkan kadar kemusnahan harta benda dan korban manusia pula. Jadi, wujud pelbagai faktor yang membawa berlakunya bencana alam ini.

Punca yang ketara ialah bencana alam merupakan satu mala petaka yang sudah menjadi lumrah dalam sejarah peradaban manusia. Kita sudah sedia maklum dunia ini pasti akan mengalami gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan dan juga banjir serta tiupan angin kencang pada bila-bila masa sahaja. Kajian sains telah membuktikan bahawa bumi ini memang senantiasa dalam proses perubahan meliputi kejadian bencana alam itu. Maka, bencana alam berlaku kerana perkara itu merupakan sesuatu fenomena biasa yang menimpa dunia ini sejak berkurun-kurun lalu.

Namun, bencana alam juga boleh dicetuskan akibat kemusnahan alam yang disebabkan oleh aktiviti harian terutama ekonomi manusia sejak berdekad-dekad lamanya itu. Lihat sahaja kemusnahan hutan, udara, laut dan sebagainya yang berlaku dengan begitu pantas terutama dalam era kemodenan manusia ini berbanding dengan zaman purbakala pula. Kemusnahan yang sebegitu sudah pasti akan membawa musibah yang tertentu kerana bumi ini walaupun luas pasti mengambil masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik sebegitu. Jadi, bencana alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehingga dunia itu sendiri tidak mampu untuk mengawalnya.

Malah, bencana alam juga berlaku akibat kegagalan manusia membuat perancangan. Kita semua sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal musim hujan, kejadian ribut taufan dan juga memahami kejadian tsunami itu tetapi mengapakah angka kematian terus meningkat? Jawapannya mudah sahaja kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana atau tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah keupayaan bencana ala mini atau menganggap nilai nyawa manusia itu tidak bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja.

Malah, kejadian bencana alam kini mula dikaitkan dengan pemanasan global yang dikatakan menjadi sesuatu perkara lazim dalam peredaran usia bumi ini. Kajian saintis telah membuktikan bahawa bumi ini pasti akan mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam tempoh masa tertentu. Semua bukti kajian lalu mengesahkan bahawa bencana alam merupakan sesuatu perkara yang akan, sedang dan terus berlaku di dunia ini. Oleh itu, bencana alam turut berlaku akibat perubahan iklim dunia yang dikaitkan dengan fenomena pemasan global.

Kesimpulannya, bencana alam berlaku berdasarkan pelbagai punca seperti yang dihuraikan tadi. Semua faktor ini saling berkait lalu menjadikan bencana alam itu begitu kritikal terutama apabila mengorbankan ribuaan nyawa dengan sekelip mata. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk memulihkan semula alam sekitar kerana itulah jawapan kepada penyelesaian bencana alam ini. Peribahasa hendak buat seribu daya tak hendak seribu dalih menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini.


Gambar Kejadian Banjir Besar Di Kajang, Selangor Pada Bulan Disember 2011

No comments:

Post a Comment